Anak maut depan mata ibu digilis treler muatan balak


Seorang kanak-kanak maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis sebuah treler membawa muatan kayu balak di Kilometer 1 Jalan Bentong-Karak di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Muhamad Afiq Nazmi Abdullah,10, sedang membonceng motosikal yang ditunggang ibunya dari bandar Bentung ke Benus di sini.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal berkenaan hilang kawalan lalu terlanggar belakang sebuah kereta jenis Toyota Alphard menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke lorong kiri.

“Dalam masa yang sama datang sebuah treler dari arah belakang tidak sempat membrek lalu terlanggar pembonceng motosikal,”katanya di sini hari ini.

Katanya, akibat kejadian menyebabkan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal luka di bahagian tangan dan kaki.

Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Sementara itu katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dua lorong sehala dan semasa kejadian cuaca adalah baik. -K! ONLINE