[VIDEO] Suami Balik Malaysia Sujud Syukur Anak Dah 2 Orang, Masa Berangkat Ke Singapura Tak Tahu Isteri Hamil


Bermula 1 April 2022 yang lalu, Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan antara yang ditunggu-tunggu ramai adalah pembukaan sepenuhnya pintu sempadan negara. Hal ini kerana, anak-anak perantauan akhirnya dapat pulang ke tanah air untuk berjumpa dengan keluarga tercinta.

Bukan itu sahaja, sambutan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini sudah pasti akan disambut meriah dengan kehadiran insan tersayang di sisi.

Baru-baru ini viral satu video yang sangat menyentuh hati memaparkan seorang lelaki melakukan sujud syukur di lapangan terbang sebelum dakapannya disambut oleh anak dan isterinya. Momen yang cukup bermakna itu dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok yang dikenali dengan nama Akupeduliofficial.

Menurut individu ini, pada awalnya dia hanya mahu merakam abangnya yang baru sahaja pulang ke tanah air selepas sempadan negara dibuka namun siapa sangka, dia sebaliknya terakam dan menyaksikan sendiri momen menyentuh hati keluarga kecil itu di lapangan terbang. Si perakam kemudian mendekati individu yang melakukan sujud syukur di lapangan terbang berkenaan untuk mengetahui kisah sebenar. Difahamkan, individu berkenaan yang dikenali dengan nama Malik menyimpan seribu satu kisah pilu di sebalik kepulangannya dari Singapura ke tanah air.

Bercerita kembali kisah yang dilaluinya, Malik memberitahu bahawa sebelum berangkat ke Singapura iaitu sebelum pandemik, dia tidak tahu bahawa isterinya yang berada di Malaysia sedang hamil anak kedua mereka. Namun dia hanya mengetahui perkara itu selepas tiba di Singapura. Pada ketika itu, anak sulungnya juga masih kecil.

Masa saya gerak tu (ke Singapura), saya tak tahu orang rumah (isteri) mengandung. Bila dapat berita dekat sana, kita nak balik tapi kastam tutup.

Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa apatah lagi untuk pulang ke tanah air kerana pada ketika itu sempadan negara ditutup ekoran pandemik yang melanda. Namun setelah bertahun-tahun tidak pulang, Malik tidak menyangka anak sulungnya bukan sahaja sudah besar malah telah dikurniakan pula seorang puteri dalam keluarga.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut sebak melihat momen penuh emosi keluarga kecil ini. Mereka juga tumpang gembira selain mendoakan agar keluarga ini diberi kebahagiaan yang berpanjangan.

Video Player