“RUMAH BONDA” – Sebaliknya Diserahkan Kepada Tiga Penjaga
Siti Bainun Ahd Razali tidak pernah menguruskan penghuni Rumah Bonda, sebaliknya diserahkan kepada tiga penjaga yang turut menghuni rumah berkenaan.
Pendedahan itu dibuat saksi pendakwaan kelapan, Suhana Zam, 40, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Siti Bainun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Menurut Suhana, sepanjang mengenali Siti Bainun yang juga pengasas Rumah Bonda, beliau belum pernah melihat wanita itu menguruskan sendiri penghuni khususnya dua bayi masing-masing dikenali Tulus Jiwa dan Tulus Bail.
“Pada bila-bila waktu saya berada di kondo (kediaman Siti Bainun) atau keluar dengan Bainun dan budak-budak memang bukan Bainun urus, mandikan, makan, tukar pampers (lampin pakai buang) sebaliknya semua urusan itu dilakukan Aida, Yasmin serta Balqis.
“Selain itu, saya sendiri pernah tengok Tulus Jiwa yang masih kecil dan ada alergi kulit dibiarkan duduk serta mengengsot bawah meja hampir sejam, tiada siapa peduli.
“Manakala Tulus Bail pula selalu cedera. Contohnya ada satu malam dia (Tulus Bail) dibiarkan bermain sendiri sehingga jatuh dan berdarah mulut. Apabila dia menangis, Aida, Yasmin atau Balqis pujuk kemudian dibiar main dan jatuh semula di tempat sama serta berdarah lagi.
“Jadi saya rasa budak-budak ini tiada penjagaan baik sebab kejadian ini boleh berlaku berulang kali,” katanya.
Dalam sesi sama, Suhana memaklumkan amat yakin Bella tidur di bilik cuci pakaian kerana pernah melihat Bainun bersama Bella ke bilik berkenaan dan wanita itu kembali semula ke ruang hadapan tanpa Bella selain remaja Sindrom Down itu juga tidak pernah dilihat bermain di ruang tamu bersama kanak-kanak lain.
Ditanya Nor Azizah berhubung cadangan dikemukakan peguam bela mengenai tindakannya tidak membuat laporan polis walaupun mengesyaki Bella didera, Suhana menjawab, beliau bimbang risiko dihadapi Bella dan mahu memastikan Bella dibawa keluar terlebih dulu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok selepas saksi itu memaklumkan berasa kurang sihat dan tidak mampu meneruskan perbicaraan.
Dua saksi pendakwaan masing-masing pegawai forensik dan jurugambar turut dijangka hadir dalam perbicaraan berkenaan.