Yasin Sulaiman lega, bersyukur terlepas hukuman gantung
Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman meluahkan rasa lega dan bersyukur selepas dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.
Menurut laporan Sinar Harian, penyanyi berusia 47 tahun itu mengucapkan terima kasih atas sokongan ahli keluarga dan orang ramai yang dijadikan sebagai sumber kekuatan selama ini.
“Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.
“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” kata penyanyi lagu Mimpi Laila itu.
Sementara itu, abang Yasin iaitu Zain Sulaiman, berkata, dia sekeluarga bersyukur dengan keputusan tersebut walaupun adiknya itu tidak dapat bersama mereka untuk meraikan Aidiladha nanti.
“Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun alhamdulillah…
“…kami lega dengan perkembangan kes yang Yasin hadapi ini. Saya harap rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” ujarnya.
Yasin atau nama penuhnya Muhammad Yasin Sulaiman dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, pada Mac lalu.
Sumber: Sinar Harian (Muhammad Aminnuraliff)