‘Redha & halalkan anak’ disalah erti, bapa Ainul Mardhiah mohon maaf

 


Baru-baru ini, bapa kepada kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin berkongsi perkembangan anaknya diserang sawan beberapa kali dan terpaksa ditidurkan bagi merehatkan otaknya.

Dikesempatan itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak mendoakan agar Allah S.W.T membuka jalan dan membimbing para doktor yang merawat bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anaknya.

Safiuddin turut memberitahu dirinya redha dan pasrah dengan ketentuan-Nya pada akan datang. Namun, ia tidak bermaksud dia akan berputus asa sebaliknya mendoakan yang terbaik buat anak sulungnya itu.

Akan tetapi, ayat ‘Saya redha dan saya pasrah’ itu telah disalah tafsir oleh ramai pihak terutama terdapat pihak yang memetik kenyataan itu dan dikongsikan di laman Facebook.

Redha dan halalkan yang saya maksudkan adalah serah segala-galanya kepada Tuhan

Ekoran itu, bapa kepada dua cahaya mata itu memohon maaf dan  tampil memberi penjelasan mengenai makna sebenar ayat yang cuba disampaikannya itu.

Jelas Safiuddin, ‘redha dan halalkan’ yang dimaksudkan olehnya adalah berserah kepada Tuhan dan bukannya memaklumkan anaknya, Ainul sudah meninggal dunia.

“Assalamualaikum, ‘redha dan halalkan’ yang saya maksudkan tu adalah saya serahkan segala-galanya kepada Tuhan. Bukan bermaksud saya give up atau nak ainul pergi. Saya harap semua faham maksud saya. Saya minta maaf jika ada yang salah faham dan ingat saya doakan Ainul supaya pergi.”tulisnya di hantaran Facebook.

Mungkin saya menulis ketika beremosi sehingga buat ramai salah faham

Selain itu, bapa Ainul berharap agar pihak yang memuat naik status berkenaan agar memadam ayat tersebut kerana ia telah menimbulkan salah faham selain mengakui kesilapannya menulis dalam keadaan emosi setelah empat hari tidak mendapatkan tidur secukupnya.

“Ainul masih ada lagi, dia masih bernafas. Saya minta maaf sangat sangat mungkin saya menulis ketika beremosi sehingga buat orang salah faham. Saya harap mana mana page atau individu yang muatnaik status ainul dah tiada itu supaya padam atau diturunkan.

“Saya minta maaf, bukan salah anda, ini salah saya sendiri. Saya tak cukup tidur 4 hari ni menyebabkan fikiran saya tidak “stabil”. Dan mungkin memuatnaik status dalam keadaan yang terlalu emosi dan sedih.”jelasnya.

https://www.instagram.com/p/ChEmYHnOHBr/

Maklumnya lagi, dia tidak pernah meminta Ainul Mardhiah pergi walaupun sudah tidak tahu sampai bila anaknya perlu bertahan melawan kesakitan yang dihadapinya kini. Pun begitu, dia hanya mampu mendoakan agar anaknya diberi kekuatan untuk terus bertahan.

Dalam pada itu, dia mengaku anaknya kini sedang kritikal akibat diserang sawan berkali-kali dan kini sedang menunggu Ainul Madhiah sedar.

Sumber: Instagram @_nrlerwani, Facebook Ahmad Safiuddin