3 hari hilang, kanak kanak autisme akhirnya ditemui lemas


Kanak-kanak austisme yang dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di sini pada Ahad lalu, ditemui lemas di Sungai Sarawak, hari ini.

Mayat Muhd Ramadhan Muhd Ridhwan, 8, dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira lima kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, sekitar jam 7.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Raffy Saibi, berkata anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menaiki bot bergegas ke lokasi penemuan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya. Keadaan mayat sempurna tanpa ada sebarang kesan kecederaan," katanya.

Menurutnya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi bedah siasat.

Mangsa disedari hilang dari kediaman di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, kira-kira 2 petang, Ahad lalu. Ketika kejadian, dia tinggal di rumah bersama ibu saudaranya, manakala bapanya keluar berniaga.

BBP Batu Lintang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi operasi SAR.