Kakak Ustazah Norhafizah Musa kembali ke rahmatullah


Kehilangan insan tersayang dalam hidup memang memeritkan apatah lagi insan tersebut merupakan adik beradik yang sama-sama membesar dengan kita dari kecil hinggalah dewasa.

Begitulah yang dirasakan oleh penceramah terkenal, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa apabila kakaknya, Ustazah Nor Hayati Musa, 55, meninggal dunia akibat kanser pankreas tahap empat di sebuah pusat perubatan pada pagi Sabtu yang lalu.

Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga termasuk ibu bapanya, suami serta anak-anak.

Jenazah kemudiannya disolatkan di Masjid Negeri, Negeri Sembilan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said.

Sementara itu menerusi Facebook, Ustazah Norhafizah meluahkan rasa pilu dengan pemergian kakaknya yang tercinta dan berharap agar orang ramai dapat mendoakan Allahyarham di kalangan para solihin.

“Dik.. adik kata nak ngaji sama-sama dengan Along..”

Ok kak long… kc datang sekarang insya Allah.

Lalu tinggallah segala kerja yang lain, urusan rumahtangga,tangguh kuliah talaqqi, tak tergamak membiarkan seorang kakak yang sedang kesakitan mengharap padahal jasa dan budinya terlalu besar pada adik-adiknya.

“Dik… Along takut macamana rasa sakitnya mati”.

“Kak long… Allah Maha Penyayang… Allah takkan biarkan kak long dalam ketakutan dan kesedihan… hamba-hamba yang beriman akan Allah hiburkan dengan tempat nikmat yang Allah janjikan.. sampai tak sabar nak jumpa Allah”

” ok… along beriman”.

” dik… semua ni sebuah perjalanan yang indahkan?”

” ya kak long… sabar ya… Allah segala-galanya”

” ya dik… along sabar insyaAllah “

Dan semalam… perjalanan Norhayati Musa telah berakhir. Alhamdulillah.. Allah Yang Maha Baik menjadikan ia begitu indah sekali.

Dalam kepayahan bernafas, kak long angkat corong pernafasan, kak long gagahkan berdoa dengan mencungap-cungap.. bagi isyarat agar semua di sekelilingnya mengaminkan…

lalu kami aminkan dengan kuat juga… kak long baca ayat-ayat Quran, kak long zikir hingga suara kak long tak keluar lagi… mak abah sampai..

suasana bening amat hanya dengar nafas kak long, abah bagi salam dengan suara kuat pada kak long… abah dan mak ambil alih, usap kak long… abah ambil tuala letak di kepala kak long, tangan kanan abah tidak berganjak dari ubun-ubun kak long… mak angkat tangan berdoa di sisi kak long…

hingga satu ketika, abah bimbing shahadah dan kak long usahakan ikut dalam kepayahan… dan kemudian semuanya jadi tertanya-tanya… kak long dah tiada ke? Nafas terakhirnya terlalu lembut…

Kak long… Allah Maha Pengasih Kak Long… Allah lah yang memudahkan segala-galanya.. Subhanallah…Allah lah yang mentakdirkan perjalanan terakhir kak long ditatang oleh suami, mak abah, anak-anak, adik-adik , saudara mara ,

sahabat handai bahkan orang lain yang tak pernah pun mengenali kak long sebelum ini. Betapa ramainya yang solatkan jenazah kak long, mendoakan kak long dalam terang dan diam.

Abah cakap.. ” solosai hidup kak long… takdo doso insya Allah yg dibawa pergi.. Ameen. Suami, mak abah, anak-anak, semuo redho…

Allah basuh dosa-dosa dengan sakit”.

sumbER:WOWBERITA