Dua maut, empat parah kenderaan dinaiki terbabas, langgar pokok


Dua maut manakala empat lagi cedera parah selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan di Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza tercampak keluar dari kenderaan tersebut dalam kemalangan pada pukul 4.05 petang.

“Kenderaan tersebut dipercayai dipandu

dengan kelajuan yang tinggi sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini malam ini.

Menurutnya, dua mangsa yang terbunuh itu ialah pemandu kenderaan terbabit yang merupakan seorang anggota tentera, Mohd. Firdaus Nor Shaidi, 23.

Katanya, mangsa itu beralamat di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa kedua pula ialah seorang pelajar, Maizatul Hana Mohd Rosdan, 21, dari Taman Lembah Jerai, Gurun yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, empat lagi mangsa, Fatin Nurfatiha Asmadi, 21, Nur Aiman Rifqi Mohd. Badrolnizan, 21, Muhammad Helmi Ahmad Tarmizi, 27, dan Nurul Atikah Mohd. Rashidi, 22, cedera parah dan kini dirawat di HSM.

Shariman memberirahu, kesemua waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE