Allahyarham kapten affendi anak harapan bantu sara ibu bapa
Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang malam Selasa, merupakan anak yang baik dan banyak membantu menyara kehidupan kedua orang tuanya.
Ibunya, Razilah Daud, 52, berkata, pada 2017 Allahyarham membeli sebuah rumah di Taman Redan Perdana di Muadzam Shah di sini disusuli dengan sebuah kereta pada tahun 2019 untuk kegunaan mereka sekeluarga.
Razilah berkata, sebelum itu mereka sekeluarga menetap di Felda Keratong Lima, di sini dengan suaminya, Bustamy Tuakal, 70, bekerja sebagai buruh mengambil upah membuat rumah sekitar tanah rancangan itu manakala beliau tidak bekerja.
"Kami hanya menyewa di Felda Keratong. Lepas beli rumah dan kelengkapan di sini, dia minta kami duduk di sini... katanya, 'anggap macam emak dan abah sudah pencen', selain arwah memberi duit belanja bulanan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah keluarga Allahyarham di sini pada Rabu.
Razilah berkata, pada pertemuan terakhir, Allahyarham memaklumkan bahawa dia akan menduduki peperiksaan paling susah sebelum tamat berkursus pada Isnin depan dan selepas itu menurutnya kehidupan mereka sekeluarga akan bertambah baik.
Mohamad Affendi, 31, meninggal dunia dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 terhempas pada 10.07 malam Selasa, semasa sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan pangkalan udara itu.
Kejadian turut menyebabkan seorang lagi juruterbang Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Sementara itu seorang lagi anggota keluarga Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Tam, 36, berkata, beliau mengenali Mohamad Affendi semasa arwah berusia 18 tahun selepas berkahwin dengan sepupu arwah dan sejak itu beliau mengetahui minat mendalam arwah terhadap profesion tentera udara.